1
“PREPARE for the worst case.” Terngiang-ngiang di telinga Zaiza kata doktor yang merawat ibunya malam tadi.
Setelah
sebulan menjadi penghuni tetap di Hospital Tuanku Zahirah, Kuala
Terengganu, ibunya sudah tidak memberi reaksi lagi kepada sebarang ubat
dan kemoterapi. Sel-sel barahnya sudah merebak. Doktor juga sudah
kehabisan ikhtiar.
Sekarang, kata-kata doktor itu telah menjadi
kenyataan. Ibunya dijemput ILAHI setelah setahun berjuang dengan
penyakit barah payudaranya. Zaiza pasrah. Walaupun dia tahu pemergian
ibunya bermakna dia sudah tidak punya sesiapa lagi di dunia ini, namun
mungkin kematian adalah jalan terbaik untuk ibunya. Masih terbayang di
ruang mata kesakitan dan tangisan ibunya saban malam menahan rasa sakit
yang tidak tertanggung.
Zaiza mengesat air mata yang membasahi
pipi. Dia sedang menunggu mayat ibunya dimandikan, dikafankan dan
disembahyangkan di dalam bilik mayat. Zaiza memohon semuanya
diselesaikan di situ, kerana dia tahu tiada orang yang hendak menolong
apabila jenazah ibunya sampai di kampung halamannya nanti.
Perkahwinan
ibu Zaiza, Zaimah dan ayahnya Zakaria mendapat tentangan hebat adik
beradik ibunya yang seramai lima orang. Hanya ibu Zaimah sahaja yang
tidak membantah, kerana dia percaya jodoh dan pertemuan di tangan TUHAN.
Zakaria adalah bekas penagih dan penjual dadah yang dibuang daerah atas
kesalahan itu. Tiga tahun dikenakan hukuman itu di kampung Zaimah,
cinta berputik antara mereka. Lalu bersatulah dua jiwa walau tentangan
hebat menguji kekuatan diri. Benar kata orang, kalau sudah jodoh tidak
ke mana. Setahun melayari bahtera, lahirlah seorang puteri, Zaiza diberi
nama, gabungan antara Zaimah dan Zakaria.
Hiduplah mereka
sekeluarga menumpang di rumah orang tua Zaimah, menambahkan lagi
kebencian adik-beradik wanita itu kepadanya. Kerja Zakaria yang cuma
menjaja ikan bukanlah besar mana pendapatannya. Tetapi Zaiza tidak
pernah kurang kasih sayang. Ditatang bagai minyak penuh dan dididik
dengan kesopanan, Zaiza memiliki jiwa yang penyayang. Namun, sering
dicemuh oleh orang kampung kerana berayahkan seorang bekas penagih
dadah, membuat Zaiza berhati-nati dengan orang di sekelilingnya. Bagi
Zaiza mereka hanya tahu menghina, tanpa cuba menyelami hati
penagih-penagih yang benar-benar insaf dan ingin kembali ke pangkal
jalan.
Saat Zakaria meninggal dunia ketika umur Zaiza dua belas
tahun, orang kampung menabur fitnah, kononnya ayahnya meninggal kerana
dijangkiti virus AIDS. Padahal ayahnya meninggal kerana demam panas.
Lumrah manusia, suka mendengar apa yang mereka ingin dengar daripada
membuka telinga kepada keadaan sebenar.
“Zaiza! Awak okey ke?”
Zaiza berpaling ke arah suara itu. Nasrul, rakan baik sejak dari kecil berdiri di sebelah.
Hanya
Nasrul yang sudi menemaninya sepanjang dia menjaga ibunya di hospital.
Anak muda yang seusia dengannya, lahir sehari sebelum Zaiza. Nasrul
lebih dulu kehilangan ibunya, meninggal dunia sewaktu melahirkannya.
Ayahnya kemudian berkahwin lagi dengan janda anak tiga. Hiduplah mereka
bahagia bersama walaupun tidak punya aliran darah yang sama mengalir di
dalam badan. Mungkin ibu tiri zaman sekarang sudah berbeza dengan ibu
tiri zaman cerita Bawang Putih Bawang Merah. Nasrul dilayan bagai anak
sendiri, dan adik-adiknya menghormatinya bagai abang kandung. Apabila
ayah Nasrul meninggal dunia selepas Nasrul baru sahaja selesai menduduki
peperiksaan SPM, Nasrul menggalas tugas sebagai ketua keluarga.
Anak
muda itu tidak pernah berkira, apatah lagi mengungkit segala penat
lelahnya untuk mencari nafkah mereka sekeluarga. Sanggup melupakan
hasrat untuk melanjutkan pelajaran, Nasrul mewarisi kerja ayahnya
sebagai peraih sayur. Setiap pagi, seawal lima pagi dia akan ke
bandaraya Kuala Terengganu untuk mendapatkan bekalan daripada pemborong,
kemudian mengedarkannya kepada peniaga-peniaga kecil kedai runcit.
“Dah
siap tu. Jom kita balik,” ajak Nasrul apabila jenazah ibu Zaiza sudah
dimasukkan ke dalam van jenazah. Zaiza dan Nasrul bersama-sama masuk ke
dalam van itu. Air mata Zaiza masih laju mengalir. Nasrul pula hanya
mampu memandang penuh hiba.
2
JAM di tangan
Nasrul sudah menunjukkan pukul 12.30 tengah hari. Basah bajunya
bermandikan peluh. Terik mentari terasa membakar kulitnya. Kepalanya
sudah terasa sakit. Pandangan semakin berpinar. Dia sudah tidak sabar
lagi menunggu. Lantas dia bangun dan mengatur langkah menghampiri Zaiza
yang masih berteleku di pusara ibunya. Dia berdiri di belakang gadis
itu. Tidak sampai hati hendak mengganggu, tetapi kalau dibiarkan mahu
sehari suntuk Zaiza duduk di situ. Dia tahu dia perlu memujuk gadis itu
untuk pulang.
“Zaiza, mari kita balik?” Perlahan suara Nasrul memujuk, bimbang juga Zaiza akan memarahinya.
“Awak pulanglah dulu. Tak payah tunggu saya. Saya cuma nak ‘bersama’ dengan ibu saya.” Dalam esak tangis Zaiza membalas.
“Dah
dua jam awak kat sini. Mesti awak tak makan lagi kan? Marilah saya
hantar awak balik. Kita singgah kat kedai Pak Mail beli makanan, nak?”
Senyap sepi tanpa balasan.
“Tak
baik awak menangisi pemergian ibu awak macam ni. Kalau dia tahu, dia
mesti tak suka. Awak kena teruskan hidup. Awak kena kuat Zaiza.” Lembut
Nasrul memujuk.
“Awak tak faham, Nas. Dia satu-satunya keluarga
yang saya ada kat dunia ni. Apa saya nak buat tanpa dia. Macam mana saya
nak teruskan hidup. Hidup saya kosong. Awak faham tak?” Bahu Zaiza
terhinjut-hinjut menahan tangis. Zaiza menongkat dahi di kayu nisan.
Tangannya menggenggam tanah merah di atas pusara itu.
“Sabar
Zaiza, sabar. Jangan macam ni. Ingat TUHAN. Bawak mengucap
banyak-banyak. Saya kan ada. Saya akan tolong awak. Awak cakap saja apa
yang perlu saya buat, saya akan buat. Tapi kita balik dulu ya.” Mata
Nasrul sudah mula kemerahan. Tidak sanggp melihat bekas rakan sekelasnya
terus hilang punca. Nasrul memegang bahu Zaiza. Dia mencari dagu gadis
itu. Dipegang lembut dan ditarik ke arahnya. Mata mereka bertentangan.
Zaiza
menepis lembut tangan Nasrul, malu pada Nasrul melihat keadaannya
begitu. Nasrul tidak berputus asa. Ditarik perlahan tangan Zaiza untuk
bangun. Zaiza menurut tanpa melawan. Dibiarkan sahabatnya itu memimpin
dirinya. Nasrul mengiringi Zaiza ke bawah pohon jambu air di tepi jalan,
tempat mereka meletakkan basikal. Pandangan Zaiza masih tidak lekang
memandang pusara ibunya.
“Selamat jalan ibu, nanti Ija datang
lagi.” Perlahan suara Zaiza berbisik. Dia mengesat sisa air mata dengan
hujung selendangnya.
“Jom.” Nasrul sudah bersedia untuk mengayuh.
Hanya menunggu Zaiza memulakannya. Dia mengekori Zaiza dari belakang.
Lagaknya tidak ubah seperti seorang pengawal keselamatan. Bimbang
sungguh dia pada sahabat karibnya.
Sudah tiga hari Zaiza begitu.
Setiap pagi menjenguk pusara ibunya. Hanya pulang setelah matahari tegak
di kepala. Itupun setelah dipujuk Nasrul. Kalau tidak, entah bila dia
akan pulang.
Seperti yang dikatakan Nasrul, mereka singgah di
gerai Pak Mail untuk membeli makanan. Hanya Nasrul yang masuk ke kedai.
Zaiza menunggu di tepi jalan di atas basikalnya. Nasrul mencapai nasi
dan lauk secepat mungkin kerana tidak mahu Zaiza menunggunya lama.
Beberapa orang sedang minum teh di kedai itu memandang Zaiza dan
bercakap sesama sendiri.
“Kasihan, dah la ayah tak ada, mak pulak meninggal. Saudara mara buat tak peduli. Entah apalah nasib budak tu ye?”
“Entah. Pandai-pandailah nak hidup. Jangan dikacau hidup aku anak beranak sudah.”
Telinga
Nasrul terasa panas. Sudah tidak tahan mendengar kata-kata itu
terhadap sahabatnya. Dia tahu dia perlu segera pergi dari kedai Pak
Mail. Bimbang Zaiza mendengar, Nasrul berlari anak mendapatkan Zaiza
setelah membayar harga makanan.
“Jom kita balik.” Nasrul mengarahkan Zaiza.
Zaiza
segera mengayuh tanpa menghiraukan orang sekeliling. Bukan dia tidak
tahu pelanggan di kedai Pak Mail mengata tentang dirinya. Malas hendak
dilayan orang kampung yang cetek pemikirannya.
Setelah mengayuh
hampir lima belas minit, mereka sampai di rumah Zaiza. Kelihatan Zainab,
kakak arwah ibunya sedang duduk di atas anak tangga rumahnya sambil
meriba beg tangannya yang berwarna merah saga. Tangannya memegang hujung
selendang dan dikipas-kipas ke wajahnya yang sudah kemerahan menahan
marah. Melihat Nasrul dan Zaiza mengayuh menghampiri rumah, dia segera
bangun.
Zaiza dan Nasrul segera menongkat basikal di bawah pokok mempelam di tepi rumah.
“Nak apa lagi tu?” Nasrul berbisik pada Zaiza.
“Nak cari harta la, apa lagi?” Selamba Zaiza membalas.
Nasrul
menghulur nasi bungkus kepada Zaiza. Gadis itu mengayun langkah menuju
ke pintu belakang. Sengaja buat-buat tidak nampak ibu saudaranya yang
sudah lama menunggu di pintu depan.
“Hei, Zaiza! Kau buta ke? Atau
buat-buat buta. Tak nampak ke aku tercegat kat sini!” Lantang suara
Zainab menjerit ke arah Zaiza.
Zaiza memberhentikan langkahnya.
Dia berpaling melihat Mak Nab yang sudah seperti singa betina itu. Zaiza
memanggil ibu saudaranya dengan panggilan Mak Nab sahaja.
“Mak
Nab, saya tak buta dan tak pekak. Cuma saya tak mahu melihat dan
bercakap dengan orang yang kurang siuman macam Mak Nab ni.” Laju saja
Zaiza menjawab tanpa mengira pangkat orang tua itu pada dirinya.
“Apa kau kata aku?” Mak Nab segera berlari mendapatkan Zaiza. Mahu diganyang anak saudaranya yang dianggap tak sedar diri itu.
Seperti
tahu apa yang mahu dilakukan Mak Nab, Nasrul segera berlari mendapatkan
Zaiza. Dia berdiri di hadapan Zaiza. Tangannya didepangkan untuk
melindungi Zaiza.
“Bawak bersabar, Mak Nab. Sabar. Tak elok macam ni.” Nasrul menjadi pengadil meleraikan dua saudara itu.
Zaiza hanya tegak berdiri di belakang Nasrul. Sedikit pun dia tidak takut pada ibu saudaranya itu.
“Kau
suruh aku sabar, kau tengok la perangai kawan kau tu, tak ubah macam
iblis. Menyakitkan hati aku saja.” Mak Nab cuba mencapai badan Zaiza
tetapi badannya yang rendah itu tidak mampu untuk melepasi Nasrul.
Nasrul memegang tangan Mak Nab.
“Mak Nab tenang dulu. Apa-apapun kita bincang dulu okey?” Nasrul memujuk wanita yang sudah melebihi separuh abad itu.
Mak Nab menarik tangannya. Dibetulkan tudung di atas kepalanya.
“Kau
dengar sini ya, Zaiza. Aku nak hujung bulan ni kau kosongkan rumah ni.
Kau kemaskan semua barang-barang kau. Aku tak nak tengok lagi muka kau
kat rumah ni. Kau faham?” Tinggi nada suara Mak Nab sambil tangannya
menuding ke arah Zaiza.
Nasrul masih berdiri melindungi temannya.
“Mak
Nab ni, kasihan la pada Zaiza, dia baru saja kehilangan ibu dia. Rumah
ni satu-satunya tempat dia berteduh. Kalau Mak Nab nak ambil rumah ni,
dia nak tinggal kat mana?” Nasrul masih cuba memujuk wanita itu.
“Hei!
Ada aku kisah? Dia tak ada rumah ke, dia kebulur ke, pergi jahanam lah!
Yang aku tahu aku nak ambil semula rumah pusaka peninggalan arwah mak
aku ni. Apa dia nak jadi, lantak dia lah. Aku tak nak jadi bodoh macam
ibu dia. Kahwin dengan bekas penagih. Seumur hidup menumpang di rumah
ibu mertua. Muka tak malu.” Lantang Mak Nab menjawab. Namun, cercaannya
belum bernoktah. “Kau pun nak jadi muka tak malu macam ayah kau ke,
Zaiza?”
Zaiza masih tegak berdiri. Tidak menoleh, tidak juga
bersuara. Air mata seakan mahu menitis. Sampai hati Mak Nab mengutuk
kedua-dua orang tuanya yang telah tiada. Kalaupun ada dosa yang ibunya
buat, cumalah mengahwini ayahnya yang bekas penagih dadah. Tapi bukan
satu dosa pun sebenarnya. Tetapi bagi kaum keluarga ibunya, itu adalah
dosa yang sangat besar dilakukan ibunya sehingga mereka sekeluarga
dipinggir sanak saudara.
“Kau ingat tu, Zaiza. Kalau kau tak nak keluar cara baik, aku buat cara kasar. Kau jangan main-main dengan aku.”
Amaran
Mak Nab tidak langsung Zaiza pedulikan. Mak Nab segera mendapatkan beg
tangannya di atas anak tangga dan berlalu pergi. Mulutnya masih
membebel. Entah apa butirannya, Nasrul tidak pasti. Apabila kelibat Mak
Nab sudah menghilang, Nasrul memusingkan badan memandang Zaiza.
Zaiza
segera melangkah ke pintu dapur. Insiden sebentar tadi tidak sedikit
pun meninggalkan kesan di hatinya. Bukan kali pertama dia diserang ibu
saudaranya gara-gara harta pusaka. Malah semasa hayat ibu dan ayahnya
masih ada pun Mak Nab selalu datang mengacau mereka sekeluarga. Mak Nab
tidak akan berpuas hati selagi dia tidak mendapat rumah peninggalan
arwah neneknya yang sepatutnya diwasiatkan kepada ibunya.
Zaiza
membuka pintu perlahan. Dia masuk ke dapur, meletakkan nasi bungkus yang
dibeli Nasrul tadi. Dia kemudian masuk ke bilik tidurnya. Diambil
sampul surat putih dalam laci meja soleknya. Ada sesuatu yang mahu
ditunjukkan kepada Nasrul. Dia segera mendapatkan Nasrul yang sedang
duduk di atas basikal di bawah pokok mempelam. Segera Zaiza menghampiri
Nasrul.
“Awak okey?” tanya Nasrul risau.
“Okey. Awak jangan
risau lah. Orang macam Mak Nab tu jangan dilayan. Orang gila kalau kita
layan, kita pun jadi gila jugak.” Tenang Zaiza menutur kata sambil
mengukir senyum.
Lega hati Nasrul melihat senyuman itu. Zaiza
sudah melupakan seketika kesedihan kehilangan ibunya. Dia menatap gadis
ayu di depannya. Zaiza tidak secantik mana, tapi wajahnya sudah cukup
membuatkan hatinya jatuh cinta pada gadis itu. Tapi sayangnya Zaiza
tidak sudi menyambut kasih yang ingin dihulur.
“Helooo...” Zaiza melambai-lambai tangan di depan wajah Nasrul.
“Eh! Maaf. Saya teringat pesanan mak saya tadi. Tu yang berfikir sekejap.” Gelabah Nasrul cuba menyembunyikan hal sebenarnya.
Zaiza tersenyum. Bukannya dia tidak tahu apa yang ada di fikiran sahabatnya itu.
“Nah! Tengok ni.” Zaiza menarik tangan Nasrul dan meletakkan surat putih itu di tapak tangan Nasrul.
“Apa ni?” Nasrul kehairanan.
“Bukalah. Baca.”
Nasrul
membuka surat yang dihulurkan Zaiza. Dia membaca. Lama ditenung isi
surat itu. Zaiza yang melihat gelagat Nasrul tersenyum. Dia tahu Nasrul
tidak faham isi surat itu kerana ia ditulis dalam bahasa Inggeris.
Lantas Zaiza mengambil surat itu dari tangan Nasrul.
Nasrul menggaru kepala yang tidak gatal.
“Tak faham ke?” usik Zaiza.
“Yalah, kita bukan sekolah tinggi, mana nak faham baca surat macam tu.” Ada nada merajuk pada suaranya.
“Surat ni cakap, saya boleh mula kerja bulan depan. Maknanya saya dah dapat kerja.” Girang kedengaran suara Zaiza.
“Ya
ke? Baguslah.” Nasrul melompat turun dari tempat duduk basikalnya. Dia
sangat gembira menerima berita itu. “Berbaloi jugak penat lelah awak
belajar dua tahun tu ya.”
“Mestilah. Ingat saya belajar saja suka-suka ke?”
“Kat
mana tempat kerja awak tu? Kalau kat bandar saya masih boleh hantarkan
awak. Pagi-pagi saya ambil sayur kat bandar awak boleh tumpang naik lori
saya.” Nasrul cukup gembira mengatur rancangan.
“Awak ni. Saya
masuk kerja pukul sembilan pagi. Bukan pukul lima pagi macam waktu yang
awak ambil sayur kat bandar tu.” Zaiza ketawa.
Sekali lagi Nasrul menggaru kepalanya.
“Ha’ah kan. Awak kerja ofis. Saya meniaga. Mana sama waktu kerja kan?”
“Tau pun. Awak ni... Buat lawak pulak.” Zaiza berhenti ketawa. Wajahnya kembali serius.
Nasrul kehairanan. “Kenapa?”
“Awak tak boleh hantar saya juga walaupun saya masuk kerja pukul lima pagi. Sebab saya kerja jauh.” Perlahan Zaiza menutur kata.
“Ala... jauh mana la sangat. Awak cakap kat saya kat mana? Saya boleh hantarkan. Tengoklah.” Nasrul masih bersikap optimis.
“KL.” Zaiza tunduk ke tanah. Tidak sanggup menatap wajah sahabatnya. Dia tahu Nasrul akan kecewa.
“KL?
Kenapa KL? Awak nak duduk dengan siapa kat KL tu. Awak ada kawan ke?
Awak tahu ke tempat kerja awak tu kat mana?” Bertalu-talu soalan Nasrul
ajukan.
“Tak tahu. Tapi saya pernah pergi rumah kawan saya kat
Keramat masa saya belajar kat Politeknik PD dulu. Saya pernah sampai
Puduraya. Tempat kerja ni kat Jalan Sultan Ismail. Dekat kot...” Zaiza
memandang Nasrul, cuba menenangkan hati sahabatnya sedangkan dia sendiri
tidak tahu jarak sebenar antara dua tempat itu. Dia tahu Nasrul risau
akan dirinya.
“Kenapa tak mintak kat Terengganu ni aje? Buat apa sampai nak pergi KL?”
“Tak dapat, bukan tak mintak.”
“Ha’ah kan. Zaman sekarang bukan senang nak dapat kerja.” Perlahan Nasrul menutur kata.
Zaiza
kembali tunduk ke memandang tanah. Kakinya menguis-nguis daun-daun
mempelam yang gugur. Dia tidak tahu apa yang patut diperkatakan lagi.
Nasrul
juga diam. Dia tidak sangka dia akan berpisah lagi dengan Zaiza. Perit
kerinduan berpisah selama dua tahun dulu apabila Zaiza melanjutkan
pelajaran ke Politeknik Port Dickson masih terasa. Inikan pula hendak
melepaskan Zaiza bekerja di Kuala Lumpur. Kelopak matanya terasa berat.
Ada air jernih yang bertakung. Dia segera menolak tongkat basikal dengan
kakinya. Dengan pantas dia melompat ke atas basikal lalu mengayuh
menuju jalan besar.
“Nas... tunggu!”
Jeritan Zaiza sudah
tidak dipedulikan. Air mata lelakinya gugur jua. Dia mahu segera pergi
agar Zaiza tidak melihat dia menangis. Malu andai dilihat Zaiza.
Zaiza
yang terpinga-pinga ditinggalkan memandang kelibat Nasrul hingga ke
simpang jalan. Dia tidak sempat menahan. Semuanya berlaku begitu pantas.
Zaiza mengetap bibirnya. Dia tahu dia telah mengecewakan sahabat
baiknya. Tetapi dia tidak punya pilihan. Itu satu-satunya peluang
untuknya memulakan hidup baru setelah semua yang berlaku. Dia amat
berharap penghijrahan ini akan membawa sinar bahagia dalam hidupnya.
Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w pun berhijrah, inikan pula dia manusia
yang kerdil. Pada zaman yang serba canggih ini, jauh manalah sangat
jarak Kuala Lumpur dan Terengganu.
3
KOKOKAN
ayam yang bertalu-talu mengejutkan Zaiza daripada tidur. Dengan mata
yang masih tertutup dia meraba-raba mencari jam loceng di atas meja di
sebelah katilnya. Setelah tangannya menyentuh jam itu, dia membuka
sebelah mata mengintai waktu. Sudah pukul 6.30 pagi. Patutlah galak
benar ayam di reban jirannya berkokok. Zaiza menolak selimut yang
menyelimuti seluruh tubuhnya. Dingin benar pagi ini.
Zaiza
mencapai tuala yang disangkut di tepi pintu kemudian melangkah ke bilik
air. Hanya lima minit di bilik air, Zaiza keluar. Bibirnya kebiruan,
bergetar menahan kesejukan. Zaiza masuk semula ke biliknya. Dibuka
almari yang sudah usang, Zaiza menarik sehelai kain batik dan kemeja-t.
Disarung segera setelah tuala yang melingkari badan dilucutkan agar dia
tidak lagi kesejukan. Zaiza mengambil semula tuala tadi dan dikesatnya
rambut yang masih basah. Setelah siap, Zaiza menyangkut semula tuala di
penyidai.
Zaiza mengambil telekung dan sejadah yang terletak di
birai katil. Setelah siap bertelekung, sejadah dihampar mengadap kiblat.
Zaiza menunaikan solat subuh dua rakaat. Usai solat Zaiza menadah
tangan memohon doa ke hadrat ILAHI.
“Ya ALLAH, Ya TUHANku,
ampunkan segala dosa-dosaku. Hidupkan aku di dalam iman dan matikan aku
jua di dalam iman. Ya ALLAH, TUHAN Yang Maha Pengampun, Kau ampunkan jua
segala dosa-dosa kedua orang tuaku. Kau tempatkanlah mereka di kalangan
orang-orang yang soleh dan solehah.” Ada air jernih di kelopak matanya.
Zaiza berhenti seketika menahan sebak. Kemudian dia menyambung,
“Kau
berikanlah aku kekuatan untuk meneruskan kehidupan ini, Ya ALLAH.
Bantulah aku menjadi tabah di atas segala dugaanmu padaku Ya ALLAH.
Berikan aku kekuatan agar aku tidak tersungkur dalam perjuangan ini.
Sesungguhnya hanya ENGKAU Yang Maha Mengetahui apa yang akan berlaku di
kemudian hari, amin.”
Air mata Zaiza sudah tidak terbendung lagi.
Sejak kematian ibunya, hanya air mata menjadi teman sepinya.
Kadang-kadang dia tidur dalam tangisan yang belum sempat kering. Betapa
hatinya remuk redam dengan pemergian ibu tersayang. Tetapi, dia tahu dia
perlu mengayun langkah memulakan hidup walau dia hanya keseorangan di
dunia yang fana ini.
Zaiza mencapai kitab suci. Dia menarik
penanda riben merah dan membuka muka surat 441. Dengan perlahan Zaiza
mengalunkan surah Yasin untuk disedekahkan kepada kedua orang tuanya.
Usai
membaca al-Quran, Zaiza membuka telekung dan meletakkan al-Quran di
atas meja solek. Dia menjeling jam loceng di atas meja di tepi katilnya.
Sudah pukul 7.30 pagi. Hari ini dia tidak bercadang untuk ke pusara
ibunya. Dia perlu ke bandaraya Kuala Terengganu. Dia hendak membeli
tiket ke Kuala Lumpur. Hari ini sudah 15 haribulan. Dia perlu bertolak
sekurang-kurangnya dua hari sebelum bulan baru timbul.
Tiba-tiba
Zaiza teringat sesuatu. Dia mencapai telefon bimbitnya dan mencari
nombor seseorang. Apabila terjumpa nombor yang dihajati, dia terus
menekan butang hijau. Agak lama dia menunggu, kemudian seseorang
menyambut panggilannya.
“Helo?”
“Helo! Ain ke?” Zaiza membalas.
“Ya, Ain. Siapa ni?”
“Akulah, Zaiza. Dah lupa kawan ke?” Ada senyuman di bibir gadis itu.
“Ya ALLAH. Kau ke Zaiza? Kau pakai nombor baru ke?”
“Ha’ah... Lupa nak bagitahu kau. Sorry lah.”
“Hantu kau Zaiza, patutlah aku call banyak kali tak dapat. Ni apa mimpi pagi-pagi cari aku ni?”
“Hai,
nak kena mimpi baru boleh telefon ke? Kalau macam aku letak dululah.
Malam ni aku tidur aku mimpikan kau, pastu pagi esok aku call engkau
balik.” Zaiza sengaja mengusik sahabatnya.
“Letak lah kalau berani. Aku sembelih kau nanti.” Ain menjawab geram.
“Kau sihat Za?” Ain bertanya.
“Sihat. Aku call ni ada hajat. Nak mintak tolong kau sikit.” Perlahan Zaiza menyusun kata-kata.
“Apa dia? Kalau aku boleh tolong aku tolong lah.”
“Aku
dapat kerja kat KL. Nak minta tumpang rumah kau seminggu dua sebelum
aku dapat cari rumah. Boleh tak?” Zaiza bertanya penuh sopan. Risau juga
andai permintaannya tidak dapat dipenuhi, pada siapa lagi dia hendak
meminta tolong agaknya.
“Tapi kau dapat kerja kat mana?” Ain bertanya meminta kepastian.
“Dalam surat ni alamat ofis dia dekat bangunan Menara Sea Insurance, Jalan Sultan Ismail. Dekat ke dengan rumah kau?”
“Tak
silap aku kalau naik STAR dari Bandar Tasik Selatan ni mungkin dalam
setengah jam. Boleh lah rasanya kalau kau nak menumpang kat sini. Datang
la. Aku pun duduk berdua aje. Kalau kau nak join sekali pun tak apa.
Housemate aku lagi sorang baru pindah rumah. Kalau kau nak duduk sini
pun boleh?” Lancar Ain mempelawa.
“Ya ke? Kiranya aku langkah
kanan la ni. Alhamdulillah... Tapi aku belum beli tiket bas lagi. Nanti
bila aku dah beli aku call engkau semula ya. Kau datang ambil aku kat
Puduraya. Aku tak tahu rumah kat mana.”
“Yalah, boleh. Lagi satu,
mana ada Puduraya lagi sekarang. Dah tukar nama jadi Pudu Sentral lah.
Apa-apa hal pun kau call aku balik, okey. Aku nak pergi kerja ni. Nanti
lambat pulak.”
“Okey. Terima kasih banyak-banyak. Bye.”
“Tak ada hal punya lah. Bye.”
Mereka sama-sama mematikan talian.
Senyuman
masih tidak lekang di bibir Zaiza. Dia mengucapkan syukur di dalam
hati. Satu perkara sudah selesai. Tinggal lagi dua perkara. Tiket bas
dan sedikit barang-barang keperluan untuk dibawa ke Kuala Lumpur nanti.
Dia perlu membeli dua tiga helai pakaian baharu yang sesuai untuk
dipakai semasa bekerja nanti. Maklumlah sejak tamat pengajian enam bulan
yang lalu dia tidak membeli-belah langsung. Sepanjang dua tahun belajar
pun dia bukan ada banyak baju yang cantik. Mujur sepanjang pengajian,
kursus yang diambil mewajibkan mereka semua memakai uniform yang
ditetapkan. Kalau tidak dia lah orang yang paling jarang bertukar
pakaian baharu.
Dengan keadaan ibunya yang hanya mengambil upah
menjahit baju, dia perlu berjimat-cermat. Tidak boleh berboros seperti
kawan-kawan sekelasnya. Apabila masuk sahaja duit pinjaman PTPTN, ada
sahaja barang-barang baharu yang ditukar. Telefon bimbit, baju, beg dan
macam-macam lagi.
Naluri keremajaannya juga memang menginginkan
begitu. Tetapi apakan daya, dia tidak mampu. Ibunya selalu berpesan,
berjimat ketika ada. Kalau dah tak ada apa-apa, nak jimat macam mana?
Alhamdulillah, berkat sifat jimat cermatnya, dapatlah dia menyimpan
hampir dua ribu ringgit. Bolehlah dia memulakan hidup baru dengan wang
simpanannya itu nanti.
4
ZAIZA
melihat jam di tangannya. Sudah pukul 8.30 pagi. Sudah hampir lima belas
minit Zaiza menunggu kereta sapu di pondok itu. Kampungnya yang jauh di
pedalaman tidak mempunyai pengangkutan awam selain kereta sapu. Dia
perlu menaiki kenderaan itu untuk ke pekan Marang. Dari sana barulah dia
akan mengambil bas untuk ke nandar Kuala Terngganu.
Pooooooon!
Bunyi hon yang panjang sedikit mengejutkan Zaiza. Ditolehnya ke arah
bunyi itu. Motosikal Nasrul berhenti betul-betul di depan pondok Zaiza
menunggu kereta sapu. Zaiza kehairanan memandang sahabatnya itu. Bukan
ke Nasrul sepatutnya berada di Pasar Payang ketika ini. Buat apa Nasrul
di sini ketika ini?
“Nak ke bandar ke? Naiklah.” Nasrul tersenyum memandang Zaiza.
Tanpa
sebarang bicara Zaiza hanya menurut. Nasrul menghulurkan topi keledar
kepadanya. Disambutnya tetapi tidak diletak dia atas kepala. Raut wajah
Nasrul dipandang hairan.
“Kenapa?” Nasrul bertanya. Dia pura-pura tidak faham persoalan yang bermain di fikiran Zaiza.
“Awak buat apa kat sini? Bukan ke sekarang ni awak sedang bekerja?” soal Zaiza.
“Ha...
itulah bagusnya kerja sendiri. Kalau ada hal tak payah datang kerja.
Hahaha...” Gelak Nasrul semakin menghairankan Zaiza. Nasrul menoleh ke
arah Zaiza. Kerut di dahi Zaiza menginginkan penjelasannya.
“Tak
adalah. Saya dah bagi lori saya pada Adi. Dia settle kan kerja
sorang-sorang hari ni. Saya kan bos. Mana dia boleh lawan cakap saya.”
Penjelasan Nasrul menjawab persolan yang bermain di fikiran Zaiza.
Nasrul
mengambil semula topi keledar di tangan Zaiza. Diletakkan di atas
kepala Zaiza dan mengancingnya kemas. Zaiza hanya membiarkan sahaja
perlakuan sahabatnya. Setelah selesai, Zaiza melangkah naik ke atas
motosikal. Nasrul memasukkan gear dan memulas pedal minyak. Motosikalnya
bergerak perlahan menyusuri keheningan pagi.
Zaiza sedikit
gementar. Kalau diikutkan hati dia lebih rela menunggu kereta sapu.
Bukan tidak sudi untuk membonceng motosikal yang sudah berusia sedekad
itu, tetapi dia segan. Zaiza duduk di hujung tempat duduk. Sengaja
dibiarkan ruang di antara mereka yang rasanya boleh menempatkan seorang
lagi pembonceng. Tangannya memegang besi di hujung tempat duduk
belakang. Dia tidak rela memegang Nasrul. Takut Nasrul salah faham pula.
Tiba-tiba
Nasrul menekan brek motosikalnya dengan kuat. Zaiza terdorong ke depan.
Badannya yang tadi jauh dari Nasrul sudah melekap menjadi satu. Jantung
Zaiza berdegup kencang. Dipejamkan mata dan secara automatik tangannya
memeluk pinggang Nasrul.
Nasrul memberhentikan motosikalnya. Dia bertongkat kaki dan tangannya menekan pedal brek. Zaiza membuka matanya perlahan.
“Kenapa?” Segera Zaiza bertanya.
“Tu.” Tunjuk Nasrul kepada sekumpulan lembu yang sedang melintas jalan.
“Ya ALLAH, macam nak putus nyawa saya terkejut.” Zaiza mengucap di dalam hati.
“Jangan risau. Ni Nasrul la. Setakat elak lembu ni dah biasa dah.” Nasrul ketawa kecil.
“Awak okey ke?” Nasrul bertanya pada Zaiza. Dia tahu ketakutan Zaiza belum hilang. Zaiza masih memegang pinggangnya erat.
Apabila
mendengar pertanyaan Nasrul, Zaiza seolah-olah baru tersedar kedudukan
tangannya. Dia segera menarik tangannya dan menjarakkan semula dirinya
dari Nasrul.
“Kenapa? Peganglah macam tadi.” Nasrul mengusik Zaiza.
“Gatal.” Zaiza mencubit bahu Nasrul, melepaskan kemarahan.
“Awak
tahu tak, bila awak duduk jauh sangat motor saya jadi tak stabil? Duduk
la dekat sikit. Ni macam laki bini perang dingin.” Kata-kata Nasrul
makin membuatkan Zaiza geram. Ditarik muka masam. Nasrul menoleh.
“Ala,
merajuk pulak anak dara ni. Saya cakap betul ni. Jangan duduk jauh-jauh
sangat. Peganglah saya kuat-kuat, awak tak kan jatuh punya.”
Kata-kata
Nasrul membuat Zaiza teringat kenangan bersama arwah ayahnya. Ayahnya
juga akan marah padanya jika dia duduk terlalu jauh. Tak stabil katanya.
Memikirkan ada benarnya kata-kata Nasrul, Zaiza merapatkan sedikit
badannya kepada Nasrul. Tangan diletakkan semula di pinggang Nasrul.
Di hadapan, Nasrul tersenyum girang. ‘Bagus lembu, ada baiknya jugak kau melintas depan aku.’ Dia berbisik sendiri.
Setelah
semua lembu-lembu itu melintas, Nasrul memulakan semula perjalanan. Dia
sengaja membawa motornya dengan kelajuan yang sederhana. Biar masa
untuk bersama Zaiza perlahan berlalu. Bukan senang Zaiza hendak
menumpang motosikalnya. Kalau tak silap ini baru kali ketiga sepanjang
persahabatan mereka yang sudah berusia puluhan tahun. Setelah Zaiza
berhijrah ke Kuala Lumpur nanti, bila lagi peluang begini akan datang
semula. Entah-entah Zaiza sudah tidak sudi lagi menumpang motosikal
buruknya. Maklumlah, sudah jadi orang KL.
‘Hish... apa aku mengarut ni’, bisik Nasrul di hati kecilnya.
Zaiza
tidak begitu. Dia gadis yang sangat baik hati dan merendah diri. Dia
pasti tidak begitu. Nasrul meyakinkan dirinya sendiri.
Setelah
hampir empat puluh minit menunggang motosikal, akhirnya mereka sampai ke
simpang jalan besar. Nasrul meletakkan motosikalnya di bawah garaj di
dalam kawasan masjid. Dengan berhati-hati Zaiza turun dari motosikal itu
diikuti Nasrul. Nasrul mematikan enjin dan menongkat motosikal. Dia
membuka topi keledar dan menyangkut di bawah tempat duduk. Apabila
melihat Zaiza terkial-kial membuka topi keledar, Nasrul dengan rela hati
membantu. Setelah memasang mangga pada tayar hadapan, Nasrul dan Zaiza
beriringan berjalan ke perhentian bas yang terletak di hadapan masjid.
Zaiza
dan Nasrul sama-sama melabuhkan punggung apabila tiba di perhentian
bas. Kedua-duanya diam membisu. Masing-masing melayan perasaan sendiri.
“Mana awak tahu saya nak ke bandar hari ni?” Pertanyaan Zaiza memecah kesunyian.
“Awak yang cakap dengan saya semalam kan? Tak ingat ke?” Nasrul memandang Zaiza, ada senyum di bibirnya.
“Bila masa pulak? Jangan nak tipu, okey. Saya tak sempat cakap apa-apa lagi awak dah pergi.”
Nasrul tergelak kecil melihat Zaiza yang kehairanan. Dia sengaja mengenakan gadis itu. Seronok apabila melihat Zaiza gelabah.
“Tak adalah. Saya tahu dari Fikah. Awak ada cakap dengan Fikah petang semalam kan?”
“Oh
ya.” Zaiza mengangguk perlahan. Dia ada bertanya Fikah pukul berapa
biasanya Pak Man akan keluar ke pekan kerana dia bercadang hendak
menaiki kereta sapu Pak Man.
Fikah adik Nasrul yang masih
bersekolah lebih arif mengenainya kerana dia selalu menaiki kereta Pak
Man untuk ke sekolah. Walaupun Fikah bersekolah sesi petang dan
menggunakan perkhidmatan bas sekolah, tetapi kalau ada kegiatan
kokurikulum, dia akan menaiki kereta sapu Pak Man untuk ke sekolah pada
waktu pagi.
Zaiza memandang muka Nasrul. Lelaki itu pula membalas
renungan Zaiza. Seketika mereka saling berpandangan tanpa sepatah kata.
Bagaikan tersedar dari lamunan, Zaiza mengemukakan pertanyaan,
“Kenapa
awak nak ikut saya? Saya bukan budak kecik. Saya tahu uruskan diri
saya.” Zaiza bersuara perlahan. Bimbang akan menyinggung perasaan
Nasrul.
“Kenapa tak boleh ke saya nak ikut? Ada yang marah ke?” Nasrul bertanya kembali.
“Siapa pulak yang nak marah. Saya cuma takut saya menyusahkan awak.”
“Memang awak menyusahkan saya.” Kata-kata Nasrul membuatkan Zaiza memandang tepat ke muka Nasrul. Bibirnya terkunci rapat.
“Tapi
saya suka. Lagi banyak awak susahkan saya lagi saya suka.” Zaiza
menghela nafas lega. Nasrul bergurau lagi. Terasa seperti hendak
menghempuk kepala jejaka itu dengan beg tangannya. Geram melihat
senyuman Nasrul.
“Awak nak pergi jauh dari saya. Entah bila lagi
kita berjumpa. Entah-entah bila dah seronok awak di sana awak dah tak
tahu jalan pulang ke kampung kita. Masa tu hanya tinggal saya yang
kerinduan.” Kata-kata Nasrul menghilangkan rasa geram di hati Zaiza.
Yang tinggal cuma perasaan kasihan. Dia tahu Nasrul akan kesedihan bila
dia tiada. Tetapi apa kan daya, dia tidak mampu menolak takdir.
“Insya-ALLAH
saya tak akan lupa jalan pulang. Saya tak akan melupakan awak.” Zaiza
tunduk ke lantai. Tidak berani memandang wajah sahabatnya kerana dia
sendiri tidak pasti bila dia akan pulang ke kampung halamannya selepas
dia berhijrah. Jawapannya sekadar memujuk Nasrul agar tidak terlalu
sedih.
“Harap-harap begitulah kan?” Nasrul mengungkit bahu.
Suasana
sepi semula. Masing-masing kembali melayan perasaan. Hampir sepuluh
minit berlalu, bas yang ditunggu tiba juga akhirnya. Kedua-duanya
melangkah menaiki bas bersama-sama. Nasrul memilih tempat duduk di
tengah-tengah bas. Dia memberi isyarat pada Zaiza untuk duduk di sebelah
tingkap. Zaiza menurut sahaja. Nasrul kemudian melabuhkan punggungnya
di sebelah Zaiza. Bas meluncur laju menuju ke bandaraya Kuala
Terengganu.