Sunday, 9 September 2012
Cukup Sekadar Dirimu - Aireen Erina (Bab 1 - 4)
1
“PREPARE for the worst case.” Terngiang-ngiang di telinga Zaiza kata doktor yang merawat ibunya malam tadi.
Setelah sebulan menjadi penghuni tetap di Hospital Tuanku Zahirah, Kuala Terengganu, ibunya sudah tidak memberi reaksi lagi kepada sebarang ubat dan kemoterapi. Sel-sel barahnya sudah merebak. Doktor juga sudah kehabisan ikhtiar.
Sekarang, kata-kata doktor itu telah menjadi kenyataan. Ibunya dijemput ILAHI setelah setahun berjuang dengan penyakit barah payudaranya. Zaiza pasrah. Walaupun dia tahu pemergian ibunya bermakna dia sudah tidak punya sesiapa lagi di dunia ini, namun mungkin kematian adalah jalan terbaik untuk ibunya. Masih terbayang di ruang mata kesakitan dan tangisan ibunya saban malam menahan rasa sakit yang tidak tertanggung.
Zaiza mengesat air mata yang membasahi pipi. Dia sedang menunggu mayat ibunya dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan di dalam bilik mayat. Zaiza memohon semuanya diselesaikan di situ, kerana dia tahu tiada orang yang hendak menolong apabila jenazah ibunya sampai di kampung halamannya nanti.
Perkahwinan ibu Zaiza, Zaimah dan ayahnya Zakaria mendapat tentangan hebat adik beradik ibunya yang seramai lima orang. Hanya ibu Zaimah sahaja yang tidak membantah, kerana dia percaya jodoh dan pertemuan di tangan TUHAN. Zakaria adalah bekas penagih dan penjual dadah yang dibuang daerah atas kesalahan itu. Tiga tahun dikenakan hukuman itu di kampung Zaimah, cinta berputik antara mereka. Lalu bersatulah dua jiwa walau tentangan hebat menguji kekuatan diri. Benar kata orang, kalau sudah jodoh tidak ke mana. Setahun melayari bahtera, lahirlah seorang puteri, Zaiza diberi nama, gabungan antara Zaimah dan Zakaria.
Hiduplah mereka sekeluarga menumpang di rumah orang tua Zaimah, menambahkan lagi kebencian adik-beradik wanita itu kepadanya. Kerja Zakaria yang cuma menjaja ikan bukanlah besar mana pendapatannya. Tetapi Zaiza tidak pernah kurang kasih sayang. Ditatang bagai minyak penuh dan dididik dengan kesopanan, Zaiza memiliki jiwa yang penyayang. Namun, sering dicemuh oleh orang kampung kerana berayahkan seorang bekas penagih dadah, membuat Zaiza berhati-nati dengan orang di sekelilingnya. Bagi Zaiza mereka hanya tahu menghina, tanpa cuba menyelami hati penagih-penagih yang benar-benar insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan.
Saat Zakaria meninggal dunia ketika umur Zaiza dua belas tahun, orang kampung menabur fitnah, kononnya ayahnya meninggal kerana dijangkiti virus AIDS. Padahal ayahnya meninggal kerana demam panas. Lumrah manusia, suka mendengar apa yang mereka ingin dengar daripada membuka telinga kepada keadaan sebenar.
“Zaiza! Awak okey ke?”
Zaiza berpaling ke arah suara itu. Nasrul, rakan baik sejak dari kecil berdiri di sebelah.
Hanya Nasrul yang sudi menemaninya sepanjang dia menjaga ibunya di hospital. Anak muda yang seusia dengannya, lahir sehari sebelum Zaiza. Nasrul lebih dulu kehilangan ibunya, meninggal dunia sewaktu melahirkannya. Ayahnya kemudian berkahwin lagi dengan janda anak tiga. Hiduplah mereka bahagia bersama walaupun tidak punya aliran darah yang sama mengalir di dalam badan. Mungkin ibu tiri zaman sekarang sudah berbeza dengan ibu tiri zaman cerita Bawang Putih Bawang Merah. Nasrul dilayan bagai anak sendiri, dan adik-adiknya menghormatinya bagai abang kandung. Apabila ayah Nasrul meninggal dunia selepas Nasrul baru sahaja selesai menduduki peperiksaan SPM, Nasrul menggalas tugas sebagai ketua keluarga.
Anak muda itu tidak pernah berkira, apatah lagi mengungkit segala penat lelahnya untuk mencari nafkah mereka sekeluarga. Sanggup melupakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran, Nasrul mewarisi kerja ayahnya sebagai peraih sayur. Setiap pagi, seawal lima pagi dia akan ke bandaraya Kuala Terengganu untuk mendapatkan bekalan daripada pemborong, kemudian mengedarkannya kepada peniaga-peniaga kecil kedai runcit.
“Dah siap tu. Jom kita balik,” ajak Nasrul apabila jenazah ibu Zaiza sudah dimasukkan ke dalam van jenazah. Zaiza dan Nasrul bersama-sama masuk ke dalam van itu. Air mata Zaiza masih laju mengalir. Nasrul pula hanya mampu memandang penuh hiba.
2
JAM di tangan Nasrul sudah menunjukkan pukul 12.30 tengah hari. Basah bajunya bermandikan peluh. Terik mentari terasa membakar kulitnya. Kepalanya sudah terasa sakit. Pandangan semakin berpinar. Dia sudah tidak sabar lagi menunggu. Lantas dia bangun dan mengatur langkah menghampiri Zaiza yang masih berteleku di pusara ibunya. Dia berdiri di belakang gadis itu. Tidak sampai hati hendak mengganggu, tetapi kalau dibiarkan mahu sehari suntuk Zaiza duduk di situ. Dia tahu dia perlu memujuk gadis itu untuk pulang.
“Zaiza, mari kita balik?” Perlahan suara Nasrul memujuk, bimbang juga Zaiza akan memarahinya.
“Awak pulanglah dulu. Tak payah tunggu saya. Saya cuma nak ‘bersama’ dengan ibu saya.” Dalam esak tangis Zaiza membalas.
“Dah dua jam awak kat sini. Mesti awak tak makan lagi kan? Marilah saya hantar awak balik. Kita singgah kat kedai Pak Mail beli makanan, nak?”
Senyap sepi tanpa balasan.
“Tak baik awak menangisi pemergian ibu awak macam ni. Kalau dia tahu, dia mesti tak suka. Awak kena teruskan hidup. Awak kena kuat Zaiza.” Lembut Nasrul memujuk.
“Awak tak faham, Nas. Dia satu-satunya keluarga yang saya ada kat dunia ni. Apa saya nak buat tanpa dia. Macam mana saya nak teruskan hidup. Hidup saya kosong. Awak faham tak?” Bahu Zaiza terhinjut-hinjut menahan tangis. Zaiza menongkat dahi di kayu nisan. Tangannya menggenggam tanah merah di atas pusara itu.
“Sabar Zaiza, sabar. Jangan macam ni. Ingat TUHAN. Bawak mengucap banyak-banyak. Saya kan ada. Saya akan tolong awak. Awak cakap saja apa yang perlu saya buat, saya akan buat. Tapi kita balik dulu ya.” Mata Nasrul sudah mula kemerahan. Tidak sanggp melihat bekas rakan sekelasnya terus hilang punca. Nasrul memegang bahu Zaiza. Dia mencari dagu gadis itu. Dipegang lembut dan ditarik ke arahnya. Mata mereka bertentangan.
Zaiza menepis lembut tangan Nasrul, malu pada Nasrul melihat keadaannya begitu. Nasrul tidak berputus asa. Ditarik perlahan tangan Zaiza untuk bangun. Zaiza menurut tanpa melawan. Dibiarkan sahabatnya itu memimpin dirinya. Nasrul mengiringi Zaiza ke bawah pohon jambu air di tepi jalan, tempat mereka meletakkan basikal. Pandangan Zaiza masih tidak lekang memandang pusara ibunya.
“Selamat jalan ibu, nanti Ija datang lagi.” Perlahan suara Zaiza berbisik. Dia mengesat sisa air mata dengan hujung selendangnya.
“Jom.” Nasrul sudah bersedia untuk mengayuh. Hanya menunggu Zaiza memulakannya. Dia mengekori Zaiza dari belakang. Lagaknya tidak ubah seperti seorang pengawal keselamatan. Bimbang sungguh dia pada sahabat karibnya.
Sudah tiga hari Zaiza begitu. Setiap pagi menjenguk pusara ibunya. Hanya pulang setelah matahari tegak di kepala. Itupun setelah dipujuk Nasrul. Kalau tidak, entah bila dia akan pulang.
Seperti yang dikatakan Nasrul, mereka singgah di gerai Pak Mail untuk membeli makanan. Hanya Nasrul yang masuk ke kedai. Zaiza menunggu di tepi jalan di atas basikalnya. Nasrul mencapai nasi dan lauk secepat mungkin kerana tidak mahu Zaiza menunggunya lama. Beberapa orang sedang minum teh di kedai itu memandang Zaiza dan bercakap sesama sendiri.
“Kasihan, dah la ayah tak ada, mak pulak meninggal. Saudara mara buat tak peduli. Entah apalah nasib budak tu ye?”
“Entah. Pandai-pandailah nak hidup. Jangan dikacau hidup aku anak beranak sudah.”
Telinga Nasrul terasa panas. Sudah tidak tahan mendengar kata-kata itu terhadap sahabatnya. Dia tahu dia perlu segera pergi dari kedai Pak Mail. Bimbang Zaiza mendengar, Nasrul berlari anak mendapatkan Zaiza setelah membayar harga makanan.
“Jom kita balik.” Nasrul mengarahkan Zaiza.
Zaiza segera mengayuh tanpa menghiraukan orang sekeliling. Bukan dia tidak tahu pelanggan di kedai Pak Mail mengata tentang dirinya. Malas hendak dilayan orang kampung yang cetek pemikirannya.
Setelah mengayuh hampir lima belas minit, mereka sampai di rumah Zaiza. Kelihatan Zainab, kakak arwah ibunya sedang duduk di atas anak tangga rumahnya sambil meriba beg tangannya yang berwarna merah saga. Tangannya memegang hujung selendang dan dikipas-kipas ke wajahnya yang sudah kemerahan menahan marah. Melihat Nasrul dan Zaiza mengayuh menghampiri rumah, dia segera bangun.
Zaiza dan Nasrul segera menongkat basikal di bawah pokok mempelam di tepi rumah.
“Nak apa lagi tu?” Nasrul berbisik pada Zaiza.
“Nak cari harta la, apa lagi?” Selamba Zaiza membalas.
Nasrul menghulur nasi bungkus kepada Zaiza. Gadis itu mengayun langkah menuju ke pintu belakang. Sengaja buat-buat tidak nampak ibu saudaranya yang sudah lama menunggu di pintu depan.
“Hei, Zaiza! Kau buta ke? Atau buat-buat buta. Tak nampak ke aku tercegat kat sini!” Lantang suara Zainab menjerit ke arah Zaiza.
Zaiza memberhentikan langkahnya. Dia berpaling melihat Mak Nab yang sudah seperti singa betina itu. Zaiza memanggil ibu saudaranya dengan panggilan Mak Nab sahaja.
“Mak Nab, saya tak buta dan tak pekak. Cuma saya tak mahu melihat dan bercakap dengan orang yang kurang siuman macam Mak Nab ni.” Laju saja Zaiza menjawab tanpa mengira pangkat orang tua itu pada dirinya.
“Apa kau kata aku?” Mak Nab segera berlari mendapatkan Zaiza. Mahu diganyang anak saudaranya yang dianggap tak sedar diri itu.
Seperti tahu apa yang mahu dilakukan Mak Nab, Nasrul segera berlari mendapatkan Zaiza. Dia berdiri di hadapan Zaiza. Tangannya didepangkan untuk melindungi Zaiza.
“Bawak bersabar, Mak Nab. Sabar. Tak elok macam ni.” Nasrul menjadi pengadil meleraikan dua saudara itu.
Zaiza hanya tegak berdiri di belakang Nasrul. Sedikit pun dia tidak takut pada ibu saudaranya itu.
“Kau suruh aku sabar, kau tengok la perangai kawan kau tu, tak ubah macam iblis. Menyakitkan hati aku saja.” Mak Nab cuba mencapai badan Zaiza tetapi badannya yang rendah itu tidak mampu untuk melepasi Nasrul. Nasrul memegang tangan Mak Nab.
“Mak Nab tenang dulu. Apa-apapun kita bincang dulu okey?” Nasrul memujuk wanita yang sudah melebihi separuh abad itu.
Mak Nab menarik tangannya. Dibetulkan tudung di atas kepalanya.
“Kau dengar sini ya, Zaiza. Aku nak hujung bulan ni kau kosongkan rumah ni. Kau kemaskan semua barang-barang kau. Aku tak nak tengok lagi muka kau kat rumah ni. Kau faham?” Tinggi nada suara Mak Nab sambil tangannya menuding ke arah Zaiza.
Nasrul masih berdiri melindungi temannya.
“Mak Nab ni, kasihan la pada Zaiza, dia baru saja kehilangan ibu dia. Rumah ni satu-satunya tempat dia berteduh. Kalau Mak Nab nak ambil rumah ni, dia nak tinggal kat mana?” Nasrul masih cuba memujuk wanita itu.
“Hei! Ada aku kisah? Dia tak ada rumah ke, dia kebulur ke, pergi jahanam lah! Yang aku tahu aku nak ambil semula rumah pusaka peninggalan arwah mak aku ni. Apa dia nak jadi, lantak dia lah. Aku tak nak jadi bodoh macam ibu dia. Kahwin dengan bekas penagih. Seumur hidup menumpang di rumah ibu mertua. Muka tak malu.” Lantang Mak Nab menjawab. Namun, cercaannya belum bernoktah. “Kau pun nak jadi muka tak malu macam ayah kau ke, Zaiza?”
Zaiza masih tegak berdiri. Tidak menoleh, tidak juga bersuara. Air mata seakan mahu menitis. Sampai hati Mak Nab mengutuk kedua-dua orang tuanya yang telah tiada. Kalaupun ada dosa yang ibunya buat, cumalah mengahwini ayahnya yang bekas penagih dadah. Tapi bukan satu dosa pun sebenarnya. Tetapi bagi kaum keluarga ibunya, itu adalah dosa yang sangat besar dilakukan ibunya sehingga mereka sekeluarga dipinggir sanak saudara.
“Kau ingat tu, Zaiza. Kalau kau tak nak keluar cara baik, aku buat cara kasar. Kau jangan main-main dengan aku.”
Amaran Mak Nab tidak langsung Zaiza pedulikan. Mak Nab segera mendapatkan beg tangannya di atas anak tangga dan berlalu pergi. Mulutnya masih membebel. Entah apa butirannya, Nasrul tidak pasti. Apabila kelibat Mak Nab sudah menghilang, Nasrul memusingkan badan memandang Zaiza.
Zaiza segera melangkah ke pintu dapur. Insiden sebentar tadi tidak sedikit pun meninggalkan kesan di hatinya. Bukan kali pertama dia diserang ibu saudaranya gara-gara harta pusaka. Malah semasa hayat ibu dan ayahnya masih ada pun Mak Nab selalu datang mengacau mereka sekeluarga. Mak Nab tidak akan berpuas hati selagi dia tidak mendapat rumah peninggalan arwah neneknya yang sepatutnya diwasiatkan kepada ibunya.
Zaiza membuka pintu perlahan. Dia masuk ke dapur, meletakkan nasi bungkus yang dibeli Nasrul tadi. Dia kemudian masuk ke bilik tidurnya. Diambil sampul surat putih dalam laci meja soleknya. Ada sesuatu yang mahu ditunjukkan kepada Nasrul. Dia segera mendapatkan Nasrul yang sedang duduk di atas basikal di bawah pokok mempelam. Segera Zaiza menghampiri Nasrul.
“Awak okey?” tanya Nasrul risau.
“Okey. Awak jangan risau lah. Orang macam Mak Nab tu jangan dilayan. Orang gila kalau kita layan, kita pun jadi gila jugak.” Tenang Zaiza menutur kata sambil mengukir senyum.
Lega hati Nasrul melihat senyuman itu. Zaiza sudah melupakan seketika kesedihan kehilangan ibunya. Dia menatap gadis ayu di depannya. Zaiza tidak secantik mana, tapi wajahnya sudah cukup membuatkan hatinya jatuh cinta pada gadis itu. Tapi sayangnya Zaiza tidak sudi menyambut kasih yang ingin dihulur.
“Helooo...” Zaiza melambai-lambai tangan di depan wajah Nasrul.
“Eh! Maaf. Saya teringat pesanan mak saya tadi. Tu yang berfikir sekejap.” Gelabah Nasrul cuba menyembunyikan hal sebenarnya.
Zaiza tersenyum. Bukannya dia tidak tahu apa yang ada di fikiran sahabatnya itu.
“Nah! Tengok ni.” Zaiza menarik tangan Nasrul dan meletakkan surat putih itu di tapak tangan Nasrul.
“Apa ni?” Nasrul kehairanan.
“Bukalah. Baca.”
Nasrul membuka surat yang dihulurkan Zaiza. Dia membaca. Lama ditenung isi surat itu. Zaiza yang melihat gelagat Nasrul tersenyum. Dia tahu Nasrul tidak faham isi surat itu kerana ia ditulis dalam bahasa Inggeris. Lantas Zaiza mengambil surat itu dari tangan Nasrul.
Nasrul menggaru kepala yang tidak gatal.
“Tak faham ke?” usik Zaiza.
“Yalah, kita bukan sekolah tinggi, mana nak faham baca surat macam tu.” Ada nada merajuk pada suaranya.
“Surat ni cakap, saya boleh mula kerja bulan depan. Maknanya saya dah dapat kerja.” Girang kedengaran suara Zaiza.
“Ya ke? Baguslah.” Nasrul melompat turun dari tempat duduk basikalnya. Dia sangat gembira menerima berita itu. “Berbaloi jugak penat lelah awak belajar dua tahun tu ya.”
“Mestilah. Ingat saya belajar saja suka-suka ke?”
“Kat mana tempat kerja awak tu? Kalau kat bandar saya masih boleh hantarkan awak. Pagi-pagi saya ambil sayur kat bandar awak boleh tumpang naik lori saya.” Nasrul cukup gembira mengatur rancangan.
“Awak ni. Saya masuk kerja pukul sembilan pagi. Bukan pukul lima pagi macam waktu yang awak ambil sayur kat bandar tu.” Zaiza ketawa.
Sekali lagi Nasrul menggaru kepalanya.
“Ha’ah kan. Awak kerja ofis. Saya meniaga. Mana sama waktu kerja kan?”
“Tau pun. Awak ni... Buat lawak pulak.” Zaiza berhenti ketawa. Wajahnya kembali serius.
Nasrul kehairanan. “Kenapa?”
“Awak tak boleh hantar saya juga walaupun saya masuk kerja pukul lima pagi. Sebab saya kerja jauh.” Perlahan Zaiza menutur kata.
“Ala... jauh mana la sangat. Awak cakap kat saya kat mana? Saya boleh hantarkan. Tengoklah.” Nasrul masih bersikap optimis.
“KL.” Zaiza tunduk ke tanah. Tidak sanggup menatap wajah sahabatnya. Dia tahu Nasrul akan kecewa.
“KL? Kenapa KL? Awak nak duduk dengan siapa kat KL tu. Awak ada kawan ke? Awak tahu ke tempat kerja awak tu kat mana?” Bertalu-talu soalan Nasrul ajukan.
“Tak tahu. Tapi saya pernah pergi rumah kawan saya kat Keramat masa saya belajar kat Politeknik PD dulu. Saya pernah sampai Puduraya. Tempat kerja ni kat Jalan Sultan Ismail. Dekat kot...” Zaiza memandang Nasrul, cuba menenangkan hati sahabatnya sedangkan dia sendiri tidak tahu jarak sebenar antara dua tempat itu. Dia tahu Nasrul risau akan dirinya.
“Kenapa tak mintak kat Terengganu ni aje? Buat apa sampai nak pergi KL?”
“Tak dapat, bukan tak mintak.”
“Ha’ah kan. Zaman sekarang bukan senang nak dapat kerja.” Perlahan Nasrul menutur kata.
Zaiza kembali tunduk ke memandang tanah. Kakinya menguis-nguis daun-daun mempelam yang gugur. Dia tidak tahu apa yang patut diperkatakan lagi.
Nasrul juga diam. Dia tidak sangka dia akan berpisah lagi dengan Zaiza. Perit kerinduan berpisah selama dua tahun dulu apabila Zaiza melanjutkan pelajaran ke Politeknik Port Dickson masih terasa. Inikan pula hendak melepaskan Zaiza bekerja di Kuala Lumpur. Kelopak matanya terasa berat. Ada air jernih yang bertakung. Dia segera menolak tongkat basikal dengan kakinya. Dengan pantas dia melompat ke atas basikal lalu mengayuh menuju jalan besar.
“Nas... tunggu!”
Jeritan Zaiza sudah tidak dipedulikan. Air mata lelakinya gugur jua. Dia mahu segera pergi agar Zaiza tidak melihat dia menangis. Malu andai dilihat Zaiza.
Zaiza yang terpinga-pinga ditinggalkan memandang kelibat Nasrul hingga ke simpang jalan. Dia tidak sempat menahan. Semuanya berlaku begitu pantas. Zaiza mengetap bibirnya. Dia tahu dia telah mengecewakan sahabat baiknya. Tetapi dia tidak punya pilihan. Itu satu-satunya peluang untuknya memulakan hidup baru setelah semua yang berlaku. Dia amat berharap penghijrahan ini akan membawa sinar bahagia dalam hidupnya. Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w pun berhijrah, inikan pula dia manusia yang kerdil. Pada zaman yang serba canggih ini, jauh manalah sangat jarak Kuala Lumpur dan Terengganu.
3
KOKOKAN ayam yang bertalu-talu mengejutkan Zaiza daripada tidur. Dengan mata yang masih tertutup dia meraba-raba mencari jam loceng di atas meja di sebelah katilnya. Setelah tangannya menyentuh jam itu, dia membuka sebelah mata mengintai waktu. Sudah pukul 6.30 pagi. Patutlah galak benar ayam di reban jirannya berkokok. Zaiza menolak selimut yang menyelimuti seluruh tubuhnya. Dingin benar pagi ini.
Zaiza mencapai tuala yang disangkut di tepi pintu kemudian melangkah ke bilik air. Hanya lima minit di bilik air, Zaiza keluar. Bibirnya kebiruan, bergetar menahan kesejukan. Zaiza masuk semula ke biliknya. Dibuka almari yang sudah usang, Zaiza menarik sehelai kain batik dan kemeja-t. Disarung segera setelah tuala yang melingkari badan dilucutkan agar dia tidak lagi kesejukan. Zaiza mengambil semula tuala tadi dan dikesatnya rambut yang masih basah. Setelah siap, Zaiza menyangkut semula tuala di penyidai.
Zaiza mengambil telekung dan sejadah yang terletak di birai katil. Setelah siap bertelekung, sejadah dihampar mengadap kiblat. Zaiza menunaikan solat subuh dua rakaat. Usai solat Zaiza menadah tangan memohon doa ke hadrat ILAHI.
“Ya ALLAH, Ya TUHANku, ampunkan segala dosa-dosaku. Hidupkan aku di dalam iman dan matikan aku jua di dalam iman. Ya ALLAH, TUHAN Yang Maha Pengampun, Kau ampunkan jua segala dosa-dosa kedua orang tuaku. Kau tempatkanlah mereka di kalangan orang-orang yang soleh dan solehah.” Ada air jernih di kelopak matanya. Zaiza berhenti seketika menahan sebak. Kemudian dia menyambung,
“Kau berikanlah aku kekuatan untuk meneruskan kehidupan ini, Ya ALLAH. Bantulah aku menjadi tabah di atas segala dugaanmu padaku Ya ALLAH. Berikan aku kekuatan agar aku tidak tersungkur dalam perjuangan ini. Sesungguhnya hanya ENGKAU Yang Maha Mengetahui apa yang akan berlaku di kemudian hari, amin.”
Air mata Zaiza sudah tidak terbendung lagi. Sejak kematian ibunya, hanya air mata menjadi teman sepinya. Kadang-kadang dia tidur dalam tangisan yang belum sempat kering. Betapa hatinya remuk redam dengan pemergian ibu tersayang. Tetapi, dia tahu dia perlu mengayun langkah memulakan hidup walau dia hanya keseorangan di dunia yang fana ini.
Zaiza mencapai kitab suci. Dia menarik penanda riben merah dan membuka muka surat 441. Dengan perlahan Zaiza mengalunkan surah Yasin untuk disedekahkan kepada kedua orang tuanya.
Usai membaca al-Quran, Zaiza membuka telekung dan meletakkan al-Quran di atas meja solek. Dia menjeling jam loceng di atas meja di tepi katilnya. Sudah pukul 7.30 pagi. Hari ini dia tidak bercadang untuk ke pusara ibunya. Dia perlu ke bandaraya Kuala Terengganu. Dia hendak membeli tiket ke Kuala Lumpur. Hari ini sudah 15 haribulan. Dia perlu bertolak sekurang-kurangnya dua hari sebelum bulan baru timbul.
Tiba-tiba Zaiza teringat sesuatu. Dia mencapai telefon bimbitnya dan mencari nombor seseorang. Apabila terjumpa nombor yang dihajati, dia terus menekan butang hijau. Agak lama dia menunggu, kemudian seseorang menyambut panggilannya.
“Helo?”
“Helo! Ain ke?” Zaiza membalas.
“Ya, Ain. Siapa ni?”
“Akulah, Zaiza. Dah lupa kawan ke?” Ada senyuman di bibir gadis itu.
“Ya ALLAH. Kau ke Zaiza? Kau pakai nombor baru ke?”
“Ha’ah... Lupa nak bagitahu kau. Sorry lah.”
“Hantu kau Zaiza, patutlah aku call banyak kali tak dapat. Ni apa mimpi pagi-pagi cari aku ni?”
“Hai, nak kena mimpi baru boleh telefon ke? Kalau macam aku letak dululah. Malam ni aku tidur aku mimpikan kau, pastu pagi esok aku call engkau balik.” Zaiza sengaja mengusik sahabatnya.
“Letak lah kalau berani. Aku sembelih kau nanti.” Ain menjawab geram.
“Kau sihat Za?” Ain bertanya.
“Sihat. Aku call ni ada hajat. Nak mintak tolong kau sikit.” Perlahan Zaiza menyusun kata-kata.
“Apa dia? Kalau aku boleh tolong aku tolong lah.”
“Aku dapat kerja kat KL. Nak minta tumpang rumah kau seminggu dua sebelum aku dapat cari rumah. Boleh tak?” Zaiza bertanya penuh sopan. Risau juga andai permintaannya tidak dapat dipenuhi, pada siapa lagi dia hendak meminta tolong agaknya.
“Tapi kau dapat kerja kat mana?” Ain bertanya meminta kepastian.
“Dalam surat ni alamat ofis dia dekat bangunan Menara Sea Insurance, Jalan Sultan Ismail. Dekat ke dengan rumah kau?”
“Tak silap aku kalau naik STAR dari Bandar Tasik Selatan ni mungkin dalam setengah jam. Boleh lah rasanya kalau kau nak menumpang kat sini. Datang la. Aku pun duduk berdua aje. Kalau kau nak join sekali pun tak apa. Housemate aku lagi sorang baru pindah rumah. Kalau kau nak duduk sini pun boleh?” Lancar Ain mempelawa.
“Ya ke? Kiranya aku langkah kanan la ni. Alhamdulillah... Tapi aku belum beli tiket bas lagi. Nanti bila aku dah beli aku call engkau semula ya. Kau datang ambil aku kat Puduraya. Aku tak tahu rumah kat mana.”
“Yalah, boleh. Lagi satu, mana ada Puduraya lagi sekarang. Dah tukar nama jadi Pudu Sentral lah. Apa-apa hal pun kau call aku balik, okey. Aku nak pergi kerja ni. Nanti lambat pulak.”
“Okey. Terima kasih banyak-banyak. Bye.”
“Tak ada hal punya lah. Bye.”
Mereka sama-sama mematikan talian.
Senyuman masih tidak lekang di bibir Zaiza. Dia mengucapkan syukur di dalam hati. Satu perkara sudah selesai. Tinggal lagi dua perkara. Tiket bas dan sedikit barang-barang keperluan untuk dibawa ke Kuala Lumpur nanti. Dia perlu membeli dua tiga helai pakaian baharu yang sesuai untuk dipakai semasa bekerja nanti. Maklumlah sejak tamat pengajian enam bulan yang lalu dia tidak membeli-belah langsung. Sepanjang dua tahun belajar pun dia bukan ada banyak baju yang cantik. Mujur sepanjang pengajian, kursus yang diambil mewajibkan mereka semua memakai uniform yang ditetapkan. Kalau tidak dia lah orang yang paling jarang bertukar pakaian baharu.
Dengan keadaan ibunya yang hanya mengambil upah menjahit baju, dia perlu berjimat-cermat. Tidak boleh berboros seperti kawan-kawan sekelasnya. Apabila masuk sahaja duit pinjaman PTPTN, ada sahaja barang-barang baharu yang ditukar. Telefon bimbit, baju, beg dan macam-macam lagi.
Naluri keremajaannya juga memang menginginkan begitu. Tetapi apakan daya, dia tidak mampu. Ibunya selalu berpesan, berjimat ketika ada. Kalau dah tak ada apa-apa, nak jimat macam mana? Alhamdulillah, berkat sifat jimat cermatnya, dapatlah dia menyimpan hampir dua ribu ringgit. Bolehlah dia memulakan hidup baru dengan wang simpanannya itu nanti.
4
ZAIZA melihat jam di tangannya. Sudah pukul 8.30 pagi. Sudah hampir lima belas minit Zaiza menunggu kereta sapu di pondok itu. Kampungnya yang jauh di pedalaman tidak mempunyai pengangkutan awam selain kereta sapu. Dia perlu menaiki kenderaan itu untuk ke pekan Marang. Dari sana barulah dia akan mengambil bas untuk ke nandar Kuala Terngganu.
Pooooooon! Bunyi hon yang panjang sedikit mengejutkan Zaiza. Ditolehnya ke arah bunyi itu. Motosikal Nasrul berhenti betul-betul di depan pondok Zaiza menunggu kereta sapu. Zaiza kehairanan memandang sahabatnya itu. Bukan ke Nasrul sepatutnya berada di Pasar Payang ketika ini. Buat apa Nasrul di sini ketika ini?
“Nak ke bandar ke? Naiklah.” Nasrul tersenyum memandang Zaiza.
Tanpa sebarang bicara Zaiza hanya menurut. Nasrul menghulurkan topi keledar kepadanya. Disambutnya tetapi tidak diletak dia atas kepala. Raut wajah Nasrul dipandang hairan.
“Kenapa?” Nasrul bertanya. Dia pura-pura tidak faham persoalan yang bermain di fikiran Zaiza.
“Awak buat apa kat sini? Bukan ke sekarang ni awak sedang bekerja?” soal Zaiza.
“Ha... itulah bagusnya kerja sendiri. Kalau ada hal tak payah datang kerja. Hahaha...” Gelak Nasrul semakin menghairankan Zaiza. Nasrul menoleh ke arah Zaiza. Kerut di dahi Zaiza menginginkan penjelasannya.
“Tak adalah. Saya dah bagi lori saya pada Adi. Dia settle kan kerja sorang-sorang hari ni. Saya kan bos. Mana dia boleh lawan cakap saya.” Penjelasan Nasrul menjawab persolan yang bermain di fikiran Zaiza.
Nasrul mengambil semula topi keledar di tangan Zaiza. Diletakkan di atas kepala Zaiza dan mengancingnya kemas. Zaiza hanya membiarkan sahaja perlakuan sahabatnya. Setelah selesai, Zaiza melangkah naik ke atas motosikal. Nasrul memasukkan gear dan memulas pedal minyak. Motosikalnya bergerak perlahan menyusuri keheningan pagi.
Zaiza sedikit gementar. Kalau diikutkan hati dia lebih rela menunggu kereta sapu. Bukan tidak sudi untuk membonceng motosikal yang sudah berusia sedekad itu, tetapi dia segan. Zaiza duduk di hujung tempat duduk. Sengaja dibiarkan ruang di antara mereka yang rasanya boleh menempatkan seorang lagi pembonceng. Tangannya memegang besi di hujung tempat duduk belakang. Dia tidak rela memegang Nasrul. Takut Nasrul salah faham pula.
Tiba-tiba Nasrul menekan brek motosikalnya dengan kuat. Zaiza terdorong ke depan. Badannya yang tadi jauh dari Nasrul sudah melekap menjadi satu. Jantung Zaiza berdegup kencang. Dipejamkan mata dan secara automatik tangannya memeluk pinggang Nasrul.
Nasrul memberhentikan motosikalnya. Dia bertongkat kaki dan tangannya menekan pedal brek. Zaiza membuka matanya perlahan.
“Kenapa?” Segera Zaiza bertanya.
“Tu.” Tunjuk Nasrul kepada sekumpulan lembu yang sedang melintas jalan.
“Ya ALLAH, macam nak putus nyawa saya terkejut.” Zaiza mengucap di dalam hati.
“Jangan risau. Ni Nasrul la. Setakat elak lembu ni dah biasa dah.” Nasrul ketawa kecil.
“Awak okey ke?” Nasrul bertanya pada Zaiza. Dia tahu ketakutan Zaiza belum hilang. Zaiza masih memegang pinggangnya erat.
Apabila mendengar pertanyaan Nasrul, Zaiza seolah-olah baru tersedar kedudukan tangannya. Dia segera menarik tangannya dan menjarakkan semula dirinya dari Nasrul.
“Kenapa? Peganglah macam tadi.” Nasrul mengusik Zaiza.
“Gatal.” Zaiza mencubit bahu Nasrul, melepaskan kemarahan.
“Awak tahu tak, bila awak duduk jauh sangat motor saya jadi tak stabil? Duduk la dekat sikit. Ni macam laki bini perang dingin.” Kata-kata Nasrul makin membuatkan Zaiza geram. Ditarik muka masam. Nasrul menoleh.
“Ala, merajuk pulak anak dara ni. Saya cakap betul ni. Jangan duduk jauh-jauh sangat. Peganglah saya kuat-kuat, awak tak kan jatuh punya.”
Kata-kata Nasrul membuat Zaiza teringat kenangan bersama arwah ayahnya. Ayahnya juga akan marah padanya jika dia duduk terlalu jauh. Tak stabil katanya. Memikirkan ada benarnya kata-kata Nasrul, Zaiza merapatkan sedikit badannya kepada Nasrul. Tangan diletakkan semula di pinggang Nasrul.
Di hadapan, Nasrul tersenyum girang. ‘Bagus lembu, ada baiknya jugak kau melintas depan aku.’ Dia berbisik sendiri.
Setelah semua lembu-lembu itu melintas, Nasrul memulakan semula perjalanan. Dia sengaja membawa motornya dengan kelajuan yang sederhana. Biar masa untuk bersama Zaiza perlahan berlalu. Bukan senang Zaiza hendak menumpang motosikalnya. Kalau tak silap ini baru kali ketiga sepanjang persahabatan mereka yang sudah berusia puluhan tahun. Setelah Zaiza berhijrah ke Kuala Lumpur nanti, bila lagi peluang begini akan datang semula. Entah-entah Zaiza sudah tidak sudi lagi menumpang motosikal buruknya. Maklumlah, sudah jadi orang KL.
‘Hish... apa aku mengarut ni’, bisik Nasrul di hati kecilnya.
Zaiza tidak begitu. Dia gadis yang sangat baik hati dan merendah diri. Dia pasti tidak begitu. Nasrul meyakinkan dirinya sendiri.
Setelah hampir empat puluh minit menunggang motosikal, akhirnya mereka sampai ke simpang jalan besar. Nasrul meletakkan motosikalnya di bawah garaj di dalam kawasan masjid. Dengan berhati-hati Zaiza turun dari motosikal itu diikuti Nasrul. Nasrul mematikan enjin dan menongkat motosikal. Dia membuka topi keledar dan menyangkut di bawah tempat duduk. Apabila melihat Zaiza terkial-kial membuka topi keledar, Nasrul dengan rela hati membantu. Setelah memasang mangga pada tayar hadapan, Nasrul dan Zaiza beriringan berjalan ke perhentian bas yang terletak di hadapan masjid.
Zaiza dan Nasrul sama-sama melabuhkan punggung apabila tiba di perhentian bas. Kedua-duanya diam membisu. Masing-masing melayan perasaan sendiri.
“Mana awak tahu saya nak ke bandar hari ni?” Pertanyaan Zaiza memecah kesunyian.
“Awak yang cakap dengan saya semalam kan? Tak ingat ke?” Nasrul memandang Zaiza, ada senyum di bibirnya.
“Bila masa pulak? Jangan nak tipu, okey. Saya tak sempat cakap apa-apa lagi awak dah pergi.”
Nasrul tergelak kecil melihat Zaiza yang kehairanan. Dia sengaja mengenakan gadis itu. Seronok apabila melihat Zaiza gelabah.
“Tak adalah. Saya tahu dari Fikah. Awak ada cakap dengan Fikah petang semalam kan?”
“Oh ya.” Zaiza mengangguk perlahan. Dia ada bertanya Fikah pukul berapa biasanya Pak Man akan keluar ke pekan kerana dia bercadang hendak menaiki kereta sapu Pak Man.
Fikah adik Nasrul yang masih bersekolah lebih arif mengenainya kerana dia selalu menaiki kereta Pak Man untuk ke sekolah. Walaupun Fikah bersekolah sesi petang dan menggunakan perkhidmatan bas sekolah, tetapi kalau ada kegiatan kokurikulum, dia akan menaiki kereta sapu Pak Man untuk ke sekolah pada waktu pagi.
Zaiza memandang muka Nasrul. Lelaki itu pula membalas renungan Zaiza. Seketika mereka saling berpandangan tanpa sepatah kata. Bagaikan tersedar dari lamunan, Zaiza mengemukakan pertanyaan,
“Kenapa awak nak ikut saya? Saya bukan budak kecik. Saya tahu uruskan diri saya.” Zaiza bersuara perlahan. Bimbang akan menyinggung perasaan Nasrul.
“Kenapa tak boleh ke saya nak ikut? Ada yang marah ke?” Nasrul bertanya kembali.
“Siapa pulak yang nak marah. Saya cuma takut saya menyusahkan awak.”
“Memang awak menyusahkan saya.” Kata-kata Nasrul membuatkan Zaiza memandang tepat ke muka Nasrul. Bibirnya terkunci rapat.
“Tapi saya suka. Lagi banyak awak susahkan saya lagi saya suka.” Zaiza menghela nafas lega. Nasrul bergurau lagi. Terasa seperti hendak menghempuk kepala jejaka itu dengan beg tangannya. Geram melihat senyuman Nasrul.
“Awak nak pergi jauh dari saya. Entah bila lagi kita berjumpa. Entah-entah bila dah seronok awak di sana awak dah tak tahu jalan pulang ke kampung kita. Masa tu hanya tinggal saya yang kerinduan.” Kata-kata Nasrul menghilangkan rasa geram di hati Zaiza. Yang tinggal cuma perasaan kasihan. Dia tahu Nasrul akan kesedihan bila dia tiada. Tetapi apa kan daya, dia tidak mampu menolak takdir.
“Insya-ALLAH saya tak akan lupa jalan pulang. Saya tak akan melupakan awak.” Zaiza tunduk ke lantai. Tidak berani memandang wajah sahabatnya kerana dia sendiri tidak pasti bila dia akan pulang ke kampung halamannya selepas dia berhijrah. Jawapannya sekadar memujuk Nasrul agar tidak terlalu sedih.
“Harap-harap begitulah kan?” Nasrul mengungkit bahu.
Suasana sepi semula. Masing-masing kembali melayan perasaan. Hampir sepuluh minit berlalu, bas yang ditunggu tiba juga akhirnya. Kedua-duanya melangkah menaiki bas bersama-sama. Nasrul memilih tempat duduk di tengah-tengah bas. Dia memberi isyarat pada Zaiza untuk duduk di sebelah tingkap. Zaiza menurut sahaja. Nasrul kemudian melabuhkan punggungnya di sebelah Zaiza. Bas meluncur laju menuju ke bandaraya Kuala Terengganu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Assalamualaikum Tuan/Puan.
ReplyDeleteSalam dari Kita Holidays Travel & Tour Indonesia.
Kalau Tuan/Puan nak melawat ke Indonesia, jangan risau hati sila hubungi kami di:
KITA HOLIDAYS TRAVEL & TOUR INDONESIA
Tour operator & Travel Agency
Kami memberikan pengkhidmatan tour ground handling di beberapa daerah yang favorit untuk di lawati di Indonesia. Kami arrange secara profesional dan dengan penuh rasa kekeluargaan, juga dengan harga tour yang sangat berpatutan seperti ke : Padang dan Bukittinggi Tour, Aceh Tour, Medan Tour, Jakarta dan Bandung Tour, Jogjakarta Tour dan Bali Muslim Tour.
Contact person : Amsyahril
Mobile : +6285263007445
E-Mail : am_holidays@yahoo.com / kita_holidays@yahoo.com / kitaholidays@yahoo.com.